Friday, April 17, 2009

Tazkirah

Tip Kecemerlangan Dari Al-Quran



NABI MUHAMMAD - PERANCANG YANG STATEGIS

Dalam surah Yusof ayat 47-49, Allah berfirman, "Yusof berkata, 'Hendaklah kamu bertanam selama tujuh tahun sebagaimana biasa dan apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di bulirnya kecuali sedikit yang kamu ambil untuk dimakan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit yang memerlukan kamu memakan apa yang kamu simpan kecuali sedikit yang kamu biarkan dalam simpanan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia dikurniakan hujan dan ketika itu mereka memerah anggur'." Ayat ini menekankan tentang perancangan yang strategik. Mereka yang gagal untuk merancang sebenarnya sedang merancang untuk gagal.

Nabi sentiasa mementingkan perancangan yang rapi sebelum melaksanakan tugas-tugas penting. Sebagai contoh, sebelum berlakunya Hijrah dan penegakan negara Islam di Madinah, perancangan yang mantap telah dilakukan oleh nabi di Mekah. Ketika itu, baginda mengubah strategi dakwah dengan menyampaikan risalah Islam kepada orang-orang yang datang dari luar kota Mekah. Golongan Aus dan Khazraj dari Yathrib (Madinah) terkesan dengan dakwah nabi dan dengan itu pada tahun ke-12 sebelum hijrah berlakulah Perjanjian Aqabah Pertama antara nabi dengan 12 orang wakil dari Madinah. Ketika mereka kembali ke Madinah nabi mengutus sahabat yang bernama Mus'ab bin Umair bersama-sama mereka bertujuan untuk mendidik masyarakat di Madinah tentang Islam. Strategi ini berjaya mengislamkan ramai tokoh-tokoh Arab di Madinah. Ini memungkinkan berlakunya Perjanjian Aqabah Kedua di Mekah pada tahun ke-13 sebelum hijrah. Dalam perjanjian ini mereka berjanji untuk membela nabi sebagaimana mereka membela keluarga mereka sendiri hingga ke titisan darah yang terakhir.

Selepas perjanjian ini nabi melantik 12 orang dari kalangan mereka untuk menjadi nuqabak atau penggerak utama dakwah di Madinah. Perancangan yang strategik ini menjadi titik tolak kepada Hijrah dan penegakan negara Islam di Madinah. Ketika berlaku Perang Khandak golongan Quraisy keluar dengan kekuatan tentera berjumlah empat ribu orang dan Bani Ghatfan dengan jumlah enam ribu orang menuju ke Madinah. Oleh kerana umat Islam mempunyai kekuatan tentera berjumlah hanya tiga ribu orang, umat Islam memutuskan untuk mengadakan pertahanan dalam kota Madinah. Taktik yang digunakan ketika itu ialah mengorek parit di sekeliling kota Madinah. Untuk memastikan taktik ini berkesan perancangan telah dilakukan dengan rapi. Mereka memutuskan untuk menggali parit sepanjang 5,000 hasta, ukuran dalamnya 7-10 hasta dan lebarnya lebih kurang 9 hasta. Untuk melaksanakan tugas ini nabi membahagikan para sahabat kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai sepuluh orang dan setiap kumpulan diarahkan untuk menggali parit sepanjang 40 hasta.

Kesan dari perancangan yang rapi ini pihak musuh tidak dapat memasuki kota Madinah dan dengan bantuan Allah umat Islam terselamat dari pancaroba peperangan. Sikap nabi ini telah dicontohi oleh para sahabat baginda. Ketika berlakunya Perang Qadisiyah di Lembah Mesopotamia pada tahun ke-14 Hijrah bersamaan dengan 635 Masihi antara pihak Islam dan Parsi, pihak Parsi dipimpin oleh panglima besar Rustam bersama-sama tentera yang berjumlah 200,000 orang. Pihak Islam pula dipimpin oleh panglima Saad bin Abil Waqqas bersama-sama tentera Islam yang berjumlah 41,000 orang. Pihak Parsi telah menggunakan gajah untuk mengucarkacirkan barisan Islam dalam peperangan ini. Perancangan tentera Islam melahirkan taktik gelombang untuk melumpuhkan musuh. Tentera-tentera Islam dibahagikan kepada beberapa lapisan dan setiap lapisan dipecahkan kepada tiga sayap dan setiap sayap diletakkan di penjuru-penjuru yang strategik. Ketika perang bermula lapisan pertama akan menyerang terlebih dahulu. Ketika musuh sedang memberikan tumpuan kepada serangan lapisan pertama, lapisan kedua akan menyusul diikuti dengan lapisan ketiga dan begitulah seterusnya.

Perancangan yang rapi ini, bertunjangkan takwa dan tawakal, berjaya melemahkan musuh. Akhirnya khemah panglima besar Rustam dapat dikepung dan panglima Hilal bin Alqamah berjaya membunuh Rustam. Kekalahan tentera Parsi di Qadisiyah menjadi pembuka jalan kepada kejatuhan ibu kota Parsi, Ctesiphon, tidak berapa lama selepas itu.

Mereka yang gagal merancang sebenarnya sedang merancang untuk gagal.

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin, Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn Bhd. Untuk Perincian Dapatkan '7 Formula Individu Cemerlang,' Karangan Dr. Danial bin Zainal Abidin Ziarahi Laman Web di: http://www.formulacemerlang.com

No comments: